Rabu, Disember 24, 2008

Bekas pemandu teksi minat Honda

Honda mungkin boleh diselamatkan andai jutawan dari Mexico, Carlos Slim menjadi pemilik baru pasukan Formula Satu (F1) itu.

Slim dilaporkan berminat membeli pasukan yang berpangkalan di Jepun itu selepas dia melawat kilang pasukan tersebut minggu lepas.

Slim, 68, merupakan seorang pemandu teksi sebelum dia berjaya menubuhkan syarikat telekomunikasi dan kini mempunyai aset bernilai lebih 55 bilion pound.

Ia menjadikannya sebagai orang kedua terkaya di dunia di belakang pelabur Amerika Syarikat, Warren Buffet.

"Helikopter miliknya terlalu besar untuk mendarat di tempat sepatutnya, jadi mereka terpaksa mengosongkan tempat letak kereta bagi membolehkan dia mendarat.

"Tetapi lambang syarikatnya tertera di helikopter tersebut, jadi semua orang tahu siapa dia," kata sumber Honda.

Terdahulu, pasukan F1 Honda terpaksa dijual dengan harga yang murah ekoran krisis ekonomi global.


SLIM dilapor berminat membeli Honda selepas dia melawat kilang pasukan tersebut di Jepun minggu lepas.

Bekas ketua pasukan BAR Honda, David Richards kini dilaporkan berada di Timur Tengah bagi mencari 'rakan baru' yang boleh menjana peruntukan 150 juta pound untuk mengharungi saingan F1 musim 2009.

Dalam pada itu, ketua pasukan Force India, Vijay Mallya juga melahirkan minatnya untuk melabur dengan pasukan tersebut bersama jutawan Switzerland dan juatwan perkapalan Greece, Achilleas Kallakis.

"Ramai orang di kilang ini (Honda) bimbang mengenai pengambilalihan oleh Richards atau Mallya.

"Mereka fikir Mallya hanya mahu memberi kelebihan itu buat pasukannya, Force India.

"Dan bagaimana Richards boleh mengatakan bahawa dia mahu mengambilalih pasukan ini ketika dia masih meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membantu syarikat Aston Martin miliknya," tambah sumber berkenaan.

sumber: Agensi