Thailand yang memburu kejuaraan keempat kempen ini merupakan pilihan untuk munjulang gelaran kejohanan yang dulunya dikenali sebagai Piala Tiger ini selepas ketiadaan juara bertahan, Singapura.
Namun, hajat mereka untuk mencari bekalan selesa sebelum aksi penentuan di Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi Ahad ini musnah selepas tumpas menerusi jaringan Nguyen Vu Phong pada minit ke-39 dan Le Cong Vinh pada minit ke-42.
Vietnam yang tewas kepada Thailand 0-2 di peringkat Kumpulan B di Phuket awal bulan ini, jelas tidak gentar dengan sorakan lebih 50,000 peminat tuan rumah apabila mempamerkan aksi berbeza semalam.
Thailand yang ketinggalan dua gol pada babak pertama bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Ronnachai Rangsiyo pada minit ke-75.
Biarpun melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil kerana kekebalan pertahanan pasukan Vietnam sehingga wisel penamat ditiupkan.
Keputusan ini menyaksikan Vietnam yang mengalahkan Singapura 0-1 di peringkat separuh akhir, berpeluang merangkul gelaran itu buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Manakala Thailand pula yang menang agregat 3-1 ke atas Indonesia pada aksi separuh akhir minggu lalu berdepan tugas sukar untuk mencipta kemenangan pada aksi final di Hanoi Ahad ini.