Scolari turut berdiam diri selepas menyaksikan kaptennya, John Terry dibuang padang akibat melakukan kekasaran ke atas pertahanan Everton, Leon Osman.
Seluruh barisan The Blues juga enggan memberi sebarang kenyataan mengenai kontroversi itu sehingga menyebabkan mereka sekadar mencatat keputusan seri, sekali gus gagal memintas pendahulu, Liverpool di persada liga.
Scolari jelas sekali berang dengan pengadil Phil Dowd selepas Terry dilayangkan kad merah kerana mengasari Osman pada babak pertama.
Pengurus Everton, David Moyes pula menganggap terjahan yang dilakukan Terry amat kasar dan dia tidak terkejut melihat kapten Chelsea itu diarahkan keluar padang.
Ekoran itu, skuad The Blues mungkin akan kehilangan khidmat Terry dalam tiga perlawanan selepas ini.
"Tiada seorangpun dalam pasukan ini mahu bercakap pada sidang media.
"Mereka tidak puas hati mengenai beberapa keputusan pengadil dan mereka berasa bakal berdepan masalah jika bercakap mengenainya," kata seorang jurucakap Chelsea sejurus selepas tamat perlawanan.
Moyes mendedahkan Osman mengalami kecederaan buku lali disebabkan terjahan keras Terry itu.
"Saya rasa pengadil dan penjaga garisan membuat keputusan yang betul (membatalkan jaringan Steven Pienar). Mungkin ramai pengurus lain tidak akan berkata sebegini.
"Tetapi saya rasa gol itu ofsaid, jadi saya rasa pegawai perlawanan membuat keputusan betul.
"Reaksi pertama saya ialah terjahan yang dilakukan Terry itu amat keras," jelas Moyes. - Agensi