Pengurus Liverpool, Benitez terlepas perlawanan Ahad lalu ketika seri 1-1 di Arsenal kerana belum pulih dari pembedahan membuang batu karang tetapi dijangka akan berada di sisi pemain ketika menanti kedatangan Bolton pada Boxing Day di Anfield.
Penolong Benitez, Sammy Lee berharap kehadiran pengurus itu mampu menyajikan suntikan sempurna untuk Liverpool menamatkan tahun ini dengan kekal di tangga teratas.
"Rafa semakin pulih, dia menanggung kesakitan tetapi kini semakin sembuh.
"Kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan tetapi dia mencorakkan pasukan seperti mana perlawanan minggu lalu walaupun dia tiada di sisi kami, perancangan perlawanan masih tetap seperti biasa.
"Kami tahu apa yang harus kami lakukan untuk permainan berlangsung seperti biasa.
"Ketiadaannya dirasai dan semoga dia akan bersama kami untuk perlawanan dengan Bolton,'' kata Lee.
Perlawanan dengan Bolton mungkin terlalu awal untuk Torres kembali beraksi akibat kecederaan hamstring yang menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu terlepas lima perlawanan namun Lee meramalkan pemain itu akan beraksi kembali dalam tempoh terdekat.
"Keadaan Fernando semakin pulih. Dia semakin baik di setiap sesi latihan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk proses pemulihan.
"Kami akan menyenaraikan dia apabila dia cergas,'' katanya.
Liverpool akan beraksi dalam perlawanan selepas hari Krismas di tangga teratas dan mahu mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri dalam 2008.
Ini merupakan kali pertama Liverpool di kedudukan teratas pada peringkat ini sejak 1996, dan dua kemenangan dalam tempoh percutian ini, pertama ke atas Bolton disusuli Newcastle Ahad ini akan memberikan mereka perolehan mata terbaik dalam tempoh 19 tahun.
"Para pemain akan berlatih pada hari Krismas, kami berdepan dua perlawanan penting dalam tempoh tiga hari akan datang. Mereka sangat profesional dan menerima hakikat menyambut Krismas berbeza dengan orang lain," katanya.