Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan

Rabu, Disember 24, 2008

Arsenal belum menyerah kalah

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger sedar gelaran pendahulu Liga Perdana England menjelang cuti perayaan Krismas tidak membawa sebarang makna kepada mana-mana pasukan.

Malah dia tetap yakin bahawa pasukan yang berada di atas Arsenal akan jatuh semula apabila anak buahnya bangkit memberi cabaran baru tahun depan.

Ketika ini, Arsenal ketinggalan lapan mata kepada pendahulu, Liverpool selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 di Stadium Emirates Ahad lalu.

Begitupun, Arsenal terkeluar daripada kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana England dan kini berada di belakang Aston Villa yang akan dihadapi mereka minggu ini.

"Gelaran ini akan ditentukan pada bulan Mei dan kita baru berada dalam bulan Disember. Jadi menurut perkiraan saya, kami akan berjuang sehingga tamat musim ini.

"Saya percaya Liverpool akan tercicir banyak lagi mata.

"Mereka telah seri empat kali di tempat sendiri. Ini bermakna mereka kehilangan lapan mata.

"Jadi mengapa tidak mereka akan kehilangan lapan mata lagi pada separuh lagi musim ini?" kata Wenger.

Pada aksi di Stadium Emirates Ahad lalu, jaringan penyerang Arsenal, Robin van Persie pada minit ke-24 berjaya disamakan penyerang Liverpool, Robbie Keane pada minit-minit terakhir babak pertama.

Mengenai Emmanuel Adebayor yang dilayangkan kad merah kerana didakwa mengasari Alvaro Arbeloa, Wenger berkata, ia adalah satu lakonan pemain pertahanan Liverpool itu.

"Saya tidak katakan dia (Arbeloa) menipu, tetapi apa yang dia lakukan adalah sangat tidak adil.

"Pemain itu menjatuhkan dirinya sendiri di atas padang. Sudah tentu ia satu tamparan hebat bagi kami.

"Kami tidak mahu kehilangan pemain seperti Adebayor dengan cara begitu, tetapi kami perlu juga menghadapinya," tegas Wenger.

Sementara itu, kapten Arsenal, Cesc Fabregas bakal diketepikan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan selepas mengalami kecederaan serius apabila diterjah pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso.

Bekas pemandu teksi minat Honda

Honda mungkin boleh diselamatkan andai jutawan dari Mexico, Carlos Slim menjadi pemilik baru pasukan Formula Satu (F1) itu.

Slim dilaporkan berminat membeli pasukan yang berpangkalan di Jepun itu selepas dia melawat kilang pasukan tersebut minggu lepas.

Slim, 68, merupakan seorang pemandu teksi sebelum dia berjaya menubuhkan syarikat telekomunikasi dan kini mempunyai aset bernilai lebih 55 bilion pound.

Ia menjadikannya sebagai orang kedua terkaya di dunia di belakang pelabur Amerika Syarikat, Warren Buffet.

"Helikopter miliknya terlalu besar untuk mendarat di tempat sepatutnya, jadi mereka terpaksa mengosongkan tempat letak kereta bagi membolehkan dia mendarat.

"Tetapi lambang syarikatnya tertera di helikopter tersebut, jadi semua orang tahu siapa dia," kata sumber Honda.

Terdahulu, pasukan F1 Honda terpaksa dijual dengan harga yang murah ekoran krisis ekonomi global.


SLIM dilapor berminat membeli Honda selepas dia melawat kilang pasukan tersebut di Jepun minggu lepas.

Bekas ketua pasukan BAR Honda, David Richards kini dilaporkan berada di Timur Tengah bagi mencari 'rakan baru' yang boleh menjana peruntukan 150 juta pound untuk mengharungi saingan F1 musim 2009.

Dalam pada itu, ketua pasukan Force India, Vijay Mallya juga melahirkan minatnya untuk melabur dengan pasukan tersebut bersama jutawan Switzerland dan juatwan perkapalan Greece, Achilleas Kallakis.

"Ramai orang di kilang ini (Honda) bimbang mengenai pengambilalihan oleh Richards atau Mallya.

"Mereka fikir Mallya hanya mahu memberi kelebihan itu buat pasukannya, Force India.

"Dan bagaimana Richards boleh mengatakan bahawa dia mahu mengambilalih pasukan ini ketika dia masih meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membantu syarikat Aston Martin miliknya," tambah sumber berkenaan.

sumber: Agensi